Marquee text

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. (QS: At-Taubah 128)

28 Mei 2012

Fatimah Al-Zahra binti Rasulullah saw bagian 5


Imam Ali AS Dan Fatimah AH

Imam Ali AS berkata:
"Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah membuat Fatimah AH berasa bimbang dan takut di sepanjang kehidupan keluarga kami. Beliau AH tidak pernah marah semasa beliau AH hidup atau aku memaksa beliau AH melakukan sesuatu dengan paksaan. Beliau AH sentiasa taat kepadaku secara rela dan tidak pernah membuatkan aku marah. Memandang wajahnya membuatku sentiasa tertarik (bahagia) sehingga setiap perasaan marah akan hilang dalam diriku." [Bihar, Juzuk, 43, hlm.134]

Imam al-Baqir AS berkata:
"Fatimah AH telah berjanji akan melakukan semua kerja rumah termasuklah membuat roti dan menyapu rumah mereka. Ali AS pula bersetuju untuk melakukan kerja-kerja membeli-belah (keperluan harian), dan kerja-kerja luar yang lain seperti mencari kayu api, dan sebagainya. Pada suatu hari Ali AS bertanya Fatimah AH sama ada masih ada makanan yang berbaki di rumah mereka. Fatimah AH menjawab: " Aku bersumpah dengan namaNya yang membuat kemurahan dan anugerah kepadamu bahawa sejak tiga hari kebelakangan ini kita menghadapi kekurangan makanan." Mengapakah engkau tidak menyatakan kepadaku hal ini?" tanya Ali AS. Beliau AH menyambung: "Rasulullah s.a.w telah melarangku daripada meminta-minta sesuatu daripadamu. Beliau s.a.w telah memerintahkan kepadaku agar jangan meminta daripadamu sebarang keperluan. Jika engkau membeli sesuatu aku hendaklah menerimanya, dan jika tidak hendaklah aku berdiam diri." [Bihar, Jilid 43, hlm.31]

Kehidupan Politik Fatimah AH
Kehidupan Fatimah AH bukan hanya melakukan tugas sebagai suri rumah tangga dan beribadat sahaja tetapi juga meliputi soal-soal politik sejak dari zaman ayahandanya Rasulullah s.a.w di Mekah hingga selepas wafat ayahandanya s.a.w. Beliau AH dengan gigih menyokong keras perjuangan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam yang telah dididik oleh ayahandanya Rasulullah s.a.w.

Pada tahun kesepuluh kerasulan, Khadijah ibu Fatimah AH meninggal dunia. Fatimah AH kehilangan ibundanya yang tercinta. Pada tahun yang sama, beliau AH kehilangan datuk saudaranya Abu Talib yang kuat melindungi Rasulullah s.a.w. Dengan kewafatan dua orang insan mulia ini, para musyirikin Quraisy mulai berani menentang dan menyakiti Rasulullah s.a.w secara terbuka. Sehinggakan pada suatu peringkat mereka sanggup memutuskan untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Justeru, Rasulullah s.a.w membuat keputusan berhijrah ke Madinah. Malam itu Ali AS tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w demi untuk mengelirukan musuh-musuh Allah itu. Pada malam itu juga Fatimah menginap di rumah ayahandanya dan mengetahui semua kejadian tersebut. Fatimah bertahan pada malam itu dengan penuh perjuangan, kesabaran, dan keberanian segala kemungkinan yang akan berlaku kepada mereka.

Fatimah AH kemudian berhijrah ke Madinah dengan rombongan hijrah di ketuai oleh Ali AS. Dalam perjalanan ke Madinah, beberapa orang kafir mencuba untuk menghalang mereka tetapi dengan keberanian dan tekad Ali AS, maka mereka berasa takut dan membiarkan rombongan hijrah itu meninggalkan Mekah. Akhirnya setelah menempuh segala kesulitan, mereka pun sampai ke Madinah.

Fatimah AH turut menjadi saksi Perang Badar dan Perang Uhud. Dalam Perang Uhud, dahi, dan gigi Nabi s.a.w luka parah. Dan yang lebih menyedihkan ialah apabila tersebarnya berita palsu bahawa Rasulullah s.a.w turut terkorban. Fatimah AH berangkat ke Uhud untuk menyaksikan medan pertempuran, dan juga melihat ayahandanya yang dikasihi Rasulullah SAW. Setelah perang berakhir, Fatimah AH menemui ayahandanya Rasulullah s.a.w, dan membersihkan wajah baginda dari luka-luka. Dalam peperangan ini juga, Fatimah AH menyaksikan datuk datuk saudaranya Hamzah syahid di medan perang.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar