Fatimah Al-Zahra binti Rasulullah saw bagian 2
Keperibadian Fatimah al-Zahra AH
Fatimah AH termasuk dalam Ahlul Bayt Rasulullah s.a.w
sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-Tathir dalam surah al-Ahzab: 33.
Dalam Surah Al-Ahzab: 33 bermaksud:
"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan
kalian daripada kekotoran (rijsa), wahai Ahlul Bayt dan menyucikan kamu
sebersih-bersihnya."
Dalam ayat di atas, Fatimah AH adalah salah seorang
daripada Ahlul Bayt Rasulullah s.a.w dan Allah SWT telah menyucikan Fatimah AH
dari sebarang dosa-dosa, bermakna Fatimah AH adalah seorang yang 'maksum' -
pendapat sesetengah ulama Ahlul Sunnah. [Sila baca Riwayat hadith al-Kisa]
Fatimah az-Zahra AH mempunyai sifat-sifat kemuliaan yang
dinyatakan dalam al-Qur'an. Ulama dari pelbagai mazhab bersetuju bahawa ayat
al-Qur'an surah Al-Insaan (76); 8-9 ditujukan kepada keluarga Fatimah AH iaitu
yang bermaksud: "Dan mereka memberikan makanan yang disukai kepada orang
miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberikan makanan
kepada kamu hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidaklah kami
mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga (ucapan) terima kasih."
Ayat di atas mengisahkan Hasan dan Husayn AS sedang dalam
keadaan sakit. Rasulullah s.a.w dengan beberapa orang sahabat menziarahi
mereka. Rasulullah s.a.w mencadangkan kepada Ali AS bernazar kepada Allah SWT
bahawa dia dan keluarganya akan berpuasa selama tiga hari apabila anak mereka
sembuh dari penyakit tersebut. Ali, Fatimah, dan pembantu mereka, Fizzah
bernazar kepada Allah SWT. Apabila Hasan dan Husayn AS sembuh, mereka pun
berpuasa. Pada waktu berbuka datang seorang pengemis meminta makanan kepada
mereka. Pada hari itu mereka hanya berbuka dengan sahaja. Keesokan hari ini datang
seorang anak yatim meminta makanan daripada mereka pada waktu berbuka dan
sekali lagi mereka hanya berbuka dengan air sahaja. Pada hari ketiga, datang
pula seorang tawanan perang meminta makanan. Selepas memberikan makanan, Ali
membawa anak-anaknya ke rumah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w berasa sedih
melihat keadaan cucunya itu. Ali AS membawa Rasulullah s.a.w ke rumah mereka.
Sampai di sana Rasulullah s.a.w melihat Fatimah AH sedang berdoa dengan keadaan
yang amat lemah. Rasulullah s.a.w berasa amat sedih. Turun malaikat Jibril
berkata kepada beliau s.a.w," Wahai Muhammad ambillah dia (Fatimah). Allah
memberikan tahniah pada Ahl Bayt kamu." Lalu Jibril membacakan ayat
tersebut.[Al-Hakim al-Haskani, Shawahid al-Tanzil, jld.II, hlm.298; al-Alusi,
Ruh al-Ma'ani, jld.XXIX, hlm.157; Fakhur al-Razi, Jild.XIII, hlm.395]
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Barang siapa
yang membuat dia marah, akan membuat aku marah." [a-Bukhari, Jilid II,
hlm.185]
Imam Ali al-Redha AS berkata bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda bermaksud:
"Hasan AS dan Husayn AS adalah makhluk yang terbaik
di dunia selepasku dan selepas bapa mereka (Ali AS) dan ibu mereka (Fatimah AH)
adalah wanita yang terbaik di kalangan semua wanita."[Bihar, Jilid 43,
hlm. 19 dan 20]
Dari Imam Ali AS dari Rasulullah s.a.w berkata kepada
Fatimah AH bermaksud:
"Sesungguhnnya Allah marah kerana kemarahanmu dan
redha kerana keredhaanmu." [Mustadrak al-sohihain, juzuk 3, hlm152]
Dari Aisyah berkata bahawa:
"Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih
benar dalam berhujah daripadanya melainkan ayahnya (Rasulullah
s.a.w)."[Mustadrak al-Sohihain, Juzuk 3, hlm.160]
Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith dari Aisyah berkata
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ".....Tidakkah engkau redha (wahai
Fatimah) bahawa engkau adalah saidati-nisa fil-Jannah (pemimpin wanita di
syurga) atau pemimpin wanita seluruh alam..." [Sahih Bukhari, Jld. IV,
hadith 819]
Dalam hadith yang lain al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah
sebuah hadith yang panjang dan di sini dinyatakan sebahagiannya:
"....Wahai Fatimah! Tidakkah engkau redha bahawa
engkau adalah saidati-nisa il-mu'minin (pemimpin wanita mu'minin) atau
saidanti-nisa-i hadzhihi il-ummah (pemimpin wanita umah ini)?"[Al-Bukhari,
Jilid 8, hadith 301]
Al-Bukhari meriwayatkan hadith dari Imam Ali AS bahawa
pada suatu ketika Fatimah AH mengadu tentang kesusahannya mengisar tepung.
Apabila beliau AH mendengar berita ada beberapa orang hamba dari rampasan
perang telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w, beliau AH lalu pergi (ke rumah
Rasulullah s.a.w) untuk menemui baginda s.a.w bagi mendapatkan pembantu
tersebut, tetapi pada ketika itu (Rasulullah s.a.w tidak ada di rumah) Aisyah
tidak dapat mencari baginda s.a.w. Lalu Fatimah menceritakan hasratnya kepada Aisyah.
Apabila Rasulullah s.a.w pulang, Aisyah menyatakan kepadanya perkara tersebut.
Rasulullah s.a.w kemudian pergi ke rumah kami....Mahukan kamu aku nyatakan
suatu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? (Iaitu) apabila
kamu hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah Allahu Akbar 34 kali,
Alhamdulillah 33 kali, dan Subhan Allah 33 kali. Ini adalah lebih baik daripada
yang kamu pohonkan."[Al-Bukhari, Jld. VI, hadith 344]
Amru bin Dinar meriwayatkan dari Aisyah berkata:
"Tidak pernah aku melihat seseorang pun yang lebih
benar daripada Fatimah salamullah 'alaiha selain daripada ayahnya."
[Hilyatul-awliya, Juzuk 2, hlm. 41]
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud:
"Pada malam aku diangkat ke langit (mi'raj), aku
melihat di pintu syurga tertulis bahawa Tidak ada Tuhan melainkan Allah,
Muhammad Rasulullah, Allah mengasihiku, dan Hasan, dan Husayn sofwatullah (sari
yang terbaik dari Allah), Fatimah Khiratullah (sesuatu yang terbaik dari
pilihan Allah), laknatullah ke atas mereka yang membenci mereka."[Tarikh
al-Baghdadi, Juzuk 1, hlm. 259]
Fatimah al-Zahra AH mempunyai sifat-sifat berikut seperti
ayahnya dan suaminya serta anggota keluarganya: (1) menemukan jalan yang benar
(ihtida') (2) mentaati prinsip-prinsip Islam (iqtida'), dan (3) berpegang teguh
serta menyakini kewajipan-kewajipannya (tamassuk)." [Nasa'i dalam Khashais
Alawiyyah]
No comments:
Post a Comment